Saturday 12 April 2014

Story : Ayat al-Quran Perjelas Hukuman Bagi Homoseksual


Sesungguhnya tiada perbezaan dalam kalangan ulama Islam mengenai pengharaman perbuatan homoseksual. Homoseksual ini dimaksudkan sebagai orang yang tertarik nafsu syahwatnya kepada orang yang sejenis dengannya, terutama antara dengan lelaki.


Tafsiran ini daripada Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sekiranya dilihat kepada tafsiran ini, homoseksual bukan bermaksud hubungan seksual antara lelaki dan lelaki, tetapi, ia hanya merujuk kepada tarikan seksual. Sekiranya mahu dihujahkan, sekiranya tertarik nafsu syahwat... adalah sesuatu yang diharamkan, maka perbuatan seksual itu juga adalah diharamkan.


Ulama sepakat

Ulama menggunakan istilah liwat untuk hubungan seksual antara lelaki dan lelaki dan musahaqah untuk hubungan antara perempuan dan perempuan. Kedua-dua hukumnya adalah haram.

Walaupun berbeza mengenai hukumannya, ulama mencapai kata sepakat tentang haramnya homoseksual secara ijmak iaitu secara persetujuan dalam kalangan ulama Islam. Sebagai sumber hukum Islam, ijmak adalah antara sumber ketiga yang paling tinggi dalam sistem perundangan Islam.

Sekiranya berlaku liwat dalam, majoriti ulama Islam meletakkan hukumannya sama seperti hukuman kepada penzina, kecuali pandangan Imam Abu Hanifah.

Asas kepada hukum pengharaman ini ialah al-Quran dan hadis. Antara ayat al-Quran yang berkaitan ialah, surah al-Araf (7) ayat 80 hingga 84; surah ash-Shuara (26), ayat 165 hingga 174, surah Hudd (11) ayat 80 hingga 81, surah al-Hijr (15), ayat 51 hingga 60. Ayat-ayat suci ini menceritakan mengenai kaum Nabi Lut yang dihukum Allah dengan seksaan dahsyat sehingga mereka dihapuskan dari dunia ini.

Antara ayat suci al-Quran ini menggunakan istilah mujrimin kepada mereka yang tertarik kepada kaum sejenis. Perkataan mujrimin ini ditafsirkan sebagai orang yang berdosa. Dalam konteks undang-undang jenayah perkataan ini boleh ditafsirkan sebagai yang melakukan jenayah kerana kata asal kepada perkataan mujrimin ini ialah jurm iaitu antara perkataan yang ditafsirkan sebagai jenayah. Ada antara ayat suci ini yang menyebut mengenai status homoseksual sebagai orang yang melampaui batas.



Beri penerangan

Selain ayat suci al-Quran, ada juga hadis Rasulullah berkaitan homoseksual dan liwat. Antaranya, terdapat hadis yang menyatakan mereka yang melakukan perbuatan ini dalam kemurkaan Allah.

Walaupun kedudukan ini jelas, banyak perbahasan semasa cuba membawa pandangan baru dalam hal ini. Terdapat pendapat yang menyatakan homoseksual tidak disebut secara harfiah dalam al-Quran. Ini benar kerana perkataan homoseksual itu hanya diperkenalkan pada akhir kurun ke-18.

Walaupun perkataan homoseksual itu tidak disebut dengan nyata di dalam al-Quran, ini tidak bermakna al-Quran tidak mempunyai hukum mengenainya. Ayat suci al-Quran dengan jelas memberikan penerangan mengenai perlakuan tersebut.

Perlu diingat, ada kalanya dalam konteks undang-undang jenayah, sesuatu perbuatan jenayah tidak semestinya mempunyai nama tertentu ada kalanya memadai sekiranya perbuatan itu diperjelaskan menerusi perbuatan.

Jika berlaku pertuduhan, ada kalanya nama diberikan kepada sesuatu kesalahan tidak dapat memberi faham kepada tertuduh, maka cara perlakuan jenayah lebih penting daripada nama kesalahan itu.



Beri peringatan

Ada juga penyokong homoseksual yang menyatakan hukuman homoseksual adalah hanya kecenderungan ulama. Pendapat ini tidak benar. Jika dilihat ayat al-Quran di atas, hukuman yang dinyatakan dalam al-Quran itu begitu terperinci. Ia bukan kecenderungan ulama. Ia adalah peringatan yang jelas.

Dengan perincian mengenai seksaan dihadapi kaum Lut itu, ia menjadikan perbuatan mereka (kaum Lut) itu boleh dijadikan satu jenayah yang dihukum di dunia ini sebagai peringatan dan pengajaran.

Sesungguhnya, seksaan Allah itu benar. Sama-samalah kita berpesan-pesan mengenai seksaan Allah, semoga kita dapat menegakkan hukum Allah dan dapat menyelamatkan orang Islam daripada seksaan Allah yang benar dan dahsyat itu.


sumber: bharian.com.my





No comments:

Post a Comment